Rabu, 9 April 2014

PERMINTAAN ISTERI BERAKHIR TRAGEDI


Permintaan isteri berakhir tragedi
Muhammad Syafie bersama anaknya reda dengan kehilangan orang tersayang. 
Gambar kecil: Nurzuraiyanie Habil

MANJUNG - Seorang suami tidak menyangka permintaan isterinya untuk pulang ke kampung berakhir tragedi apabila isteri dan anak perempuannya maut terlibat dalam satu kemalangan pada Sabtu lalu.

Muhammad Syafie Tumiran, 30, berkata, isterinya, Nurzuraiyanie Habil, 30, telah meminta izin untuk pulang ke kampung di Seri Manjung untuk menziarahi ibu mertuanya.

“Ketika itu saya sedang bekerja dan dia menelefon memberitahu mahu pulang ke Seri Manjung bersama dua anak. Pada mulanya saya agak keberatan untuk membenarkannya pulang dan dalam nada bergurau saya mengatakan tidak boleh namun saya tetap mengizinkannya.

“Memang sudah menjadi kebiasaannya isteri dan anak-anak untuk pulang sendiri jika saya tidak dapat menemani mereka,” katanya ketika ditemui di rumah ibu mertuanya di Seri Manjung di sini semalam.

Muhammad Syafie berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan kedua-dua arwah seminggu yang lalu kerana dia tinggal sendiri memandangkan dia kini menjalani latihan amali di Bangsar.

“Saya masih lagi belajar di Politeknik Arau dan jarang-jarang dapat berjumpa dengan anak-anak dan isteri yang tinggal di Bangi. Namun begitu, seminggu sebelum kejadian, arwah isteri kelihatan lebih suka bergurau, begitu juga dengan anak perempuan yang suka bersama saya.

“Anak perempuan saya juga tidak banyak ragam seperti sebelum ini dan amat rapat dengan saya. Memang saya tidak menyangka itu adalah petanda terakhir yang menunjukkan mereka bakal meninggalkan saya dan seorang lagi anak lelaki kami,” katanya.

Nurzuraiyanie dan anaknya Iman Nur Qurratunnisa, setahun tiga bulan, yang dalam perjalanan dari rumahnya di Bangi menuju ke Seri Manjung, maut apabila kereta yang dipandu Nurzuraiyanie yang dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapannya telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah Sitiawan ke Teluk Intan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan