Khamis, 24 April 2014

Perak Bakal Miliki Wilayah Pembangunan Ala Iskandar Malaysia

LUMUT - 23 April 2014
Perak bakal punyai satu wilayah pembangunan ala Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor sekiranya cadangan kerajaan negeri untuk mewujudkan pusat pertumbuhan baru mendapat lampu hijau Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata walaupun cadangan tersebut belum dikemukakan secara rasmi, kerajaan negeri telahpun mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Kerajaan Pusat mengenai hasrat melaksanakan perkara tersebut.

Katanya pusat pertumbuhan baharu yang bakal dikenali sebagai Wilayah Pembangunan Perak Selatan yang akan dilaksanakan di bawah Khazanah akan bermula dari Tanjung Malim sehingga ke Hilir Perak.

Beliau berkata pembangunan di wilayah baharu akan mengetengahkan kekuatan ekonomi sesuatu daerah termasuklah sektor automobil di bandar baru Proton di Tanjung Malim.

"Selain kekuatan ekonomi setempat, kita juga akan pastikan Wilayah Pembangunan Perak Selatan ini menggunakan ciri-ciri pembangunan yang telah kita kenal pasti di bawah pelan induk Perak Amanjaya.

"Sektor lain yang kita kenal pasti adalah pendidikan, pelabuhan dan industri berasaskan keluli yang dihasilkan oleh kilang Vale di Lumut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di pejabatnya, hari ini.

Menurut Dr Zambry, kewujudan wilayah pembangunan baharu itu penting memandangkan kedudukan kawasan Perak selatan ini yang tidak ada di dalam mana-mana wilayah pembangunan ataupun koridor pembangunan.

Menjawab satu soalan, Menteri Besar berkata beliau percaya kerajaan memerlukan peruntukan beberapa bilion ringgit untuk dijadikan sebagai modal permulaan untuk menjana pertumbuhan di wilayah itu.

Beliau bagaimana pun tidak dapat memberi jangkaan nilai pertumbuhan ekonomi yang bakal dijana di kawasan itu sehinggalah cadangan pelan pembangunan yang dikemukakan kerajaan negeri mendapat kelulusan.

"Dari segi pembangunan keseluruhannya kita harapkan ianya dapat menggerakkan lagi satu kawasan dalam negeri Perak ke arah pembangunan menyeluruh,''ujarnya.

Menurut Dr Zambry, pembangunan wilayah baharu ini juga turut memyediakan kemudahan dari segi infrastruktur dan merupakan salah satu keputusan kerajaan membina lebuhraya baharu Pantai Barat bagi merancakkan pertumbuhan di kawasan berkenaan.

Beliau turut menjelaskan bahawa kewujudan Wilayah Pembangunan Perak Selatan ini bukan kerana ketidakupayaan Proton membangunkan Tanjung Malim tetapi lebih kepada satu pelan perancangan jangka panjang dan berfasa untuk pembangunan Perak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan